Bersatu Bahagian Rembau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat akaun dan sumber perbelanjaan Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Ketua Bahagian Bersatu Rembau, Nazree Yunus berkata siasatan itu perlu dilakukan berdasarkan dakwaan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin melalui video di Facebooknya yang tular baru-baru ini.

Katanya berdasarkan video tular, Raja Petra memaklumkan bahawa kepimpinan PH dan BN mempunyai kewangan yang luar biasa dan berbelanja secara luar biasa dalam kempen pilihan raya umum yang lalu.

Menurut Nazree, Raja Petra memaklumkan bahawa BN berbelanja sehingga RM6 juta dan PH (RM10 juta) bagi satu kerusi Parlimen.

“Ini bermakna anggaran jumlah perbelanjaan yang didakwa adalah mungkin boleh mencecah lebih daripada RM 1.5 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menyiarkan pautan dakwaan yang disiarkan kelmarin (4 Februari).

Justeru, katanya Bersatu Rembau menyarankan agar perkara ini tidak dipandang remeh oleh agensi pihak berkuasa dalam menyiasat secara telus dan adil.

Nazree berkata Bersatu terbuka dan telah pun memberikan kerjasama kepada SPRM dalam isu siasatan kononnya berlaku penyelewengan RM600 bilion dan kemudian diturunkan menjadi RM92.5 bilion hingga menjadi RM300 juta, seperti yang dituduh oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Oleh itu, Bersatu Rembau menggesa agar PH (DAP, PKR, Amanah) dan UMNO untuk memperjelas serta mendedahkan sumber dan akaun perbelanjaan yang dikatakan ‘luar biasa’ yang dibelanjakan sewaktu PRU-15,” katanya.Agendadaily