Selepas dicabar untuk menunjukkan penyata akaun parti, DAP kini enggan melayan cabaran tersebut atas alasan mahu pihak yang membuat dakwaan tersebut mengemukakan bukti.

Bersatu yang sudah mendedahkan penyata akaun kepada umum selepas dituduh berbelanja mewah semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) juga mencabar DAP dan PKR untuk mengikut jejak sama sekiranya berani, tetapi nampaknya DAP enggan menyahut cabaran tersebut.

Bendahari DAP, Fong Kui Lun berkata, oleh itu partinya dan PKR enggan melayan gesaan Bersatu yang mahu gabungan tersebut mengemukakan penyata kewangan hanya kerana apabila akaun Bersatu di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dibekukan.

“Bagi bukti dulu, cakap saja tak ada guna. Kalau Bersatu ada bukti yang kita belanja lebih daripada peruntukan SPR tetapkan, baru kita akan keluarkan akaun penyata.

“Buang masa sahaja layan, saya cabar mereka untuk bagi bukti,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan beberapa akaun milik Bersatu dibekukan pada 1 Februari lalu di mana Ketua Peseruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, akuan terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram,” katanya seperti dilapor.

Susulan itu, mantan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Datuk Dr. Marzuki Mohamad menggesa PKR dan DAP mendedahkan akaunnya termasuk akaun amanah yang dipegang bagi pihak parti itu.

Cabaran itu selepas beliau mengongsikan penyata kewangan 2020 dan 2021 yang sudah diaudit di sebalik pelbagai dakwaan mengaitkan kononnya parti itu menerima RM4 bilion daripada RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi.