Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini (9 Februari) enggan mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan parti itu sekarang ini ‘dilanyak’ seolah-oleh pembangkang, walaupun berada dalam kerajaan.

Presiden UMNO yang dilantik Timbalan Perdana Menteri setelah membawa UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan, termasuk DAP, menyerahkan kepada akar umbi parti untuk membuat penilaian.

“Saya tidak ada pandangan yang boleh menyanggah atau bersetuju dengan kenyataan itu.

“Jadi, kita serahkan kepada masyarakat terutama ahli-ahli UMNO untuk menilai sendiri perkara itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Putrajaya, hari ini, menurut laporan Utusan.

Beliau beranggapan kenyataan dibuat Ismail Sabri adalah situasi biasa yang selalu dinyatakan tokoh pemimpin yang telah hilang jawatan yang dipegang sebelum ini.

“Itu pendapat dia, selalunya begitu apbila seseorang atau mana-mana tokoh yang telah meninggalkan jawatan berpuluh tahun atau lima tahun, sembilan tahun atau 22 bulan, 17 bulan atau lebih 14 bulan.

“Malah, mereka merasakan bahawa kepimpinan yang diterajui mereka adalah terbaik dan selepas itu semua (pentadbiran baharu) tak baik,” katanya.

Sebelum ini, Ismail Sabri mendedahkan dirinya ditekan kepimpinan UMNO sendiri seolah-olah beliau bukan Perdana menteri daripada UMNO.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, beliau menjelaskan UMNO hari ini tidak mendapat tempat yang baik dalam kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) kerana diberi hanya satu Timbalan Perdana Menteri dan lima menteri lain.

Ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, UMNO diberi 14 jawatan menteri, Timbalan Perdana Menteri, dan kemudian jawatan Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Bera itu juga mendedahkan beliau telah memaklumkan kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO bahawa Barisan Nasional (BN) akan kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tetapi MT enggan menerima maklumat disalurkan agensi-agensi tertentu.

Menurutnya MT dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) begitu yakin akan mencapai kemenangan besar sekiranya PRU-15 diadakan segera, sedangkan dalam laporan yang beliau terima menunjukkan gabungan itu akan kalah.AD