Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melihat ‘gangguan’ daripada Kerajaan Persekutuan yang ada sekarang terhadap rancangan orang Melayu untuk mengadakan perhimpunan, seolah-olah Malaysia bukan negara Melayu.

Merujuk kepada beberapa tempat yang dipilih penganjur bagi mengadakan perhimpunan Melayu hari ini telah dibatalkan, Dr Mahathir tidak faham kenapa kerajaan yang ada sekarang begitu takut, sehingga orang Melayu tidak dibenar bertemu, malah dianggap rasis.

“Kerajaan tak perlu takut kepada kita. Tetapi nampak takut sangat sampai tak boleh nak jumpa. Tak bagi orang Melayu jumpa. Seolah-olah negara kita ini bukanlah negara Melayu.

“Jadi bukan orang lain… kita perlu jumpa untuk menegur kerajaan sedikit sebanyak. Satu daripada perkara yang kita nak ucap tahniah kepada kerajaan ialah ketegasan mereka melawan rasuah.

“Tapi kita terkilan… sambil nak lawan rasuah… yang disiasat hanya mereka daripada parti lawan. Mereka daripada parti kerajaan kita sedar mereka juga terlibat dengan rasuah, terutamanya dengan UMNO.

“UMNO belanja cukup banyak duit dalam pilihan raya yang baru lepas ini. Kita tahu kerana kita lihat begitu banyak bendera dan sebagainya. Dan ini perlukan perbelanjaan yang banyak. Daripada mana datang duit yang begitu banyak oleh UMNO, jika tidak secara rasuah,” katanya pada sidang media mengumumkan deklarasi Melayu di ibu negara, hari ini (Ahad, 19 Mac 2023).

Bekas Pengerusi PEJUANG itu berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya menjalankan siasatan terhadap mereka yang terlibat dengan rasuah atau tidak.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata apa yang dilihat ialah kerajaan yang ada sekarang ini cuma memberi tumpuan kepada parti lawan saja, seolah-olah mereka tidak terlibat dengan rasuah, sedangkan semua tahu bahawa mereka juga terlibat dengan rasuah.

“Sebab itu mereka takut perkara ini disebar luas di seluruh negara… mereka nak jadi hero nak lawan dengan rasuah. Tapi dia tak lawan dengan diri sendiri. Kerana diri sendiri pun terlibat dengan rasuah. Inilah keadaan yang terdapat dalam negara kita sekarang ini.

“Sebab itu kerajaan tidak benar ditegur oleh sesiapa, termasuk kumpulan kita. Ya kita terdiri daripada orang Melayu. Tapi rakyat ada hak untuk tegur kerajaan.

“Tapi kerajaan ini bukan saja tak bagi… kalau parti lawan… nak ambil tindakan… nak tangkap nak masuk dalam jail dan sebagainya supaya dalam pilihan raya akan datang tak ada parti lawan. Cuma ada parti kerajaan saja dia boleh dapat menang tanpa bertandinglah.

“Kerajaan yang ada sekarang ini zalim bukan main. Cakap pandai, tapi tak buat seperti yang dicakap. Sebab itu kita berhak untuk menyatakan perasaan tidak puas hati, perasaan marah kita bukan sahaja kerana kita orang Melayu, tapi kita rakyat Malaysia ini,” katanya lagi.

Bekas Perdana Menteri Malaysia dua kali yang turut membantu mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong buat pembebasan Anwar juga berkata kerajaan yang menghalang teguran dan perjumpaan Melayu adalah kerajaan diktator.

“Rakyat berhak tegur kerajaan. Kerajaan yang halang perjumpaan ini adalah kerajaan diktator. Walhal masa dia bukan kerajaan, buat demonstrasi tiap-tiap minggu. Hari Sabtu saja ada demonstrasi. Ganas, angkat kereta, buang dalam longkang.

“Kita bukan nak buat macam tu. Kita (perhimpunan) ikut peraturan dan undang-undang (tapi) masih juga tak dibenar. Tapi kita ada hak dalam negara kita ini. Ini kerajaan diktator. Tak boleh orang bercakap. Tak boleh orang tegur.

“Di Malaysia ni tak bebas lagi. Tak bebas lagi, sehingga media pun tak boleh lapor perkara sebenar,” katanya.