Tindakan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) membelakangi pemimpin kerajaan negeri yang berbeza parti politik adalah bertentangan dengan semangat federalisme.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata amalan sedemikian dianggap tempang, lebih-lebih lagi kerajaan sekarang mahu dikenali sebagai Malaysia Madani.

Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat berkata, tindakan seumpama itu jelas mengundurkan negara ke belakang dan bertentangan dengan prinsip dan amalan federalisme.

“Semua pihak harus bersikap profesional dalam konteks pelaksanaan dasar mahu pun program yang melibatkan hubungan dua hala persekutuan dan negeri.

“Apatah lagi dalam perkara berkaitan urus tadbir kerajaan, perbezaan politik harus diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap Kerajaan Malaysia Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya tidak mengundurkan negara ke landskap politik lapuk.

Beliau menambah, polemik itu dicetus apabila projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah cuba disukarkan kerajaan sekarang.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang mendedahkan beliau dihalang daripada terlibat dengan mana-mana program Kerajaan Persekutuan, termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 23’).

Malah program Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Kedah di perantauan yang dijadual diadakan di Dewan A, MEAPS Serdang, 9 April ini turut diarah ditarik balik.

Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) Kedah mengingatkan kerajaan PH-BN bahawa walaupun LIMA’23 dibiayai Kerajaan Pusat, pameran itu diadakan di Pulau Langkawi yang merupakan jajahan negeri Kedah.

Pengerusi Bersatu Kedah, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata larangan itu tidak sepatutnya dilakukan ketika kerajaan PH-BN mengetengahkan konsep madani, tetapi tidak mempraktikkan sepenuhnya.

“Sekiranya benar berlaku, saya rasa tidak adil sebab LIMA’23 walaupun dibiayai Kerajaan Persekutuan, pameran itu dibuat dalam Kedah dan Pulau Langkawi yang merupakan jajahan negeri Kedah,” katanya.