Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dinasihatkan agar memberi tumpuan kepada isu pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Rashdan Yusof daripada terus mencipta fakta yang tidak betul.
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahaya berkata, menteri berkenaan membuat dakwaan yang bercanggah dari fakta sebenar berkenaan Tanah Rizab Melayu (TRM) di Kedah tanpa merujuk sumber sahih daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri.
“Lebih baik tumpu menyelesaikan isu Pengerusi Suruhanjaya Tenaga itu yang dikatakan mempunyai jawatan utama dalam Gamuda Bhd yang terlibat dalam projek tenaga boleh diperbaharui.
“Itu lebih baik daripada membuat kenyataan tidak betul tanpa merujuk data yang sebenar,” tegas beliau dalam satu kenyataan, hari ini (3 April 2023).
Menurutnya Nik Nazmi cuba mempertahankan dakwaannya konon TRM di Kedah telah berkurangan sebanyak 5,351.65 hektar sepanjang tempoh 2021-2022.
Sedangkan ujarnya, maklumat terkini PTG Kedah bahawa sehingga Januari 2023 berjaya mengekalkan TRM seluas 721,905.61 hektar malah keluasan itu meningkat kira-kira 408 hektar berbanding 1993.
“Mengapa beliau (Nik Nazmi) tidak mendapatkan data terkini dari sumber PTG Kedah sendiri. Mengapa harus mengemukakan bukan data terkini?
“Adakah ia sandiwara yang sengaja dicetuskan untuk menimbulkan kecaman dan tohmahan ke atas kerajaan negeri pimpinan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor atau adakah naratif ini dirancang bersifat politik semata-mata,” soalnya.
Namun baginya, walau apapun situasinya, insiden itu secara tidak langsung memaparkan kelemahan Nik Nazmi sendiri sebagai menteri.
Dalam masa yang sama, PAS Kedah tetap berdiri teguh di belakang Menteri Besar dan yakin naratif yang sengaja dicetuskan itu tidak akan berjaya mempengaruhi sokongan rakyat terhadap kerajaan negeri.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam kenyataan yang dimuatnaik di media sosialnya memaklumkan daripada jumlah 4,751.369 hektar TRM yang dicabut keluar dari tahun 1993 hingga Januari 2023, seluas 5,160.034 hektar telah diganti semula.
Justeru, kata Ahmad, Kedah antara negeri yang paling tinggi mengekalkan TRM di Semenanjung Tanah Melayu selain Kelantan dan Terengganu, merupakan fakta yang tidak boleh disanggah.
2 comments:
Aku lagi percaya kepada Nik Nazmi berbanding kerajaan PN Kedah. Lepas menipu, menipu lagi.
Ada dalil supaya berhati-hati dengan berita yang dibawa oleh orang fasiq. Admin, kau rasa Nik Nazmi tak semak ke dengan Ketua Pengarah PTG Malaysia???
Pemimpin-pemimpin PH tak sebodoh PAS/PN!!!
Nik Nazmi beri maklumat berdasarkan data tahunan berakhir 30 Nov 2022. Takkanlah tiba-tiba Rezab Tanah Melayu di Kedah meningkat 12 ribu hektar kot hahaha
Agak-agaklah kalau nak menipu hahaha
Post a Comment