Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat dakwaan rasuah seks melibatkan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka dengan seorang wanita yang tular baru-baru ini.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini membuat laporan kepada SPRM Melaka berhubung pendedahan yang tular dalam media sosial yang didakwa melibatkan tawaran seks bagi mendapatkan projek di negeri tersebut.

Wakilnya, Mohd Zamri Abu Bakar dalam laporan kepada SPRM meminta supaya siasatan dibuka dengan segera terhadap Exco Melaka tersebut.

“Hari ini saya bagi pihak warga negeri Melaka tampil ke SPRM membuat laporan dan mendesak SPRM bertindak segera memulakan siasatan.

“Untuk makluman semua bermula 25 April 2023 di media sosial facebook akaun bernama Zaharin Mohd Yassin (https://www.facebook.com/amir.malaya.796 ) dan che’GuBard Original (https://www.facebook.com/ChegubardOriginal ) telah memuat naik banyak maklumat berupa bukti gambar, cetakan skrin telefon dan video yang mengaitkan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dengan skandal rasuah seks.

“Dari bukti bukti yang dimuat menunjukkan Exco terbabit punya hubungan dengan seorang perempuan yang menawarkan khidmat seks bagi mendapat bayaran. Di mana Exco itu dikehendaki membayar sehingga RM15,000 sebulan kerana khidmat seks yang diberikan. Ini jelas boleh disabitkan kesalahan yang boleh dituduh mengikut Seksyen 372(1) (f) Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga tempoh 15 tahun, sebatan dan denda. Manakala lelaki terbabit boleh disabit kesalahan Seksyen 372 (B) Kanun keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun, atau denda, atau dengan kedua- duanya,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan di SPRM Melaka hari ini.

Mohd Zamri mendakwa terdapat elemen rasuah dalam pendedahan skandal seks yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Namun dalam pendedahan itu jelas wujud elemen rasuah yang sangat besar di mana perempuan itu telah pun memberikan khidmat seks bagi tujuan mendapatkan projek untuk ‘uncle’ nya dan watak yang dikatakan Exco Kerajaan Negeri itu turut berjanji memberikan projek demi mendapatkan layanan seks,” katanya lagi.

Mohd Zamri berkata perkara tersebut perlu disiasat pihak SPRM bagi mendapatkan cerita sebenar dan menyatakan kekecewaan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf bin Yusoh kerana membela seorang Exco tersebut.

“Kenyataan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Ab Rauf bin Yusoh yang disiarkan beberapa media semalam turut sangat mengecewakan apabila dia menyebut dia tidak mahu menafikan (peduli) perkara itu terjadi atau tidak namun dia menyifatkan ia sebagai fitnah yang boleh dikenakan kepada sesiapa sahaja.

“Maka timbul persoalan adakah Kerajaan Melaka hari ini tidak kisah mengenai integrity termasuk wujud rasuah seks tetapi akan terus membela dan melindungi pelaku?

“Semua sangat jelas dan jika SPRM pun gagal bertindak maka sesuatu sangat tidak kena sedang berlaku,” katanya lagi.