Rata-rata pengguna di media sosial berpandangan DAP tidak mampu untuk menarik undi orang Melayu terhadap parti itu, lapor Sinar Harian.

Berdasarkan undian di laman Instagram akhbar itu yang diadakan dalam tempoh 24 jam bermula jam 2 petang Ahad mendapati 74 peratus daripada 1,123 yang mengundi tidak bersetuju, 14 peratus bersetuju manakala lapan peratus mengatakan tidak pasti.

Lima peratus pula memberi pendapat mungkin DAP mampu untuk menarik undi orang Melayu terhadap parti itu.

Sementara undian di laman Twitter pula menunjukkan peratusan yang sama iaitu sebanyak 42 peratus bersetuju dan tidak bersetuju manakala sembilan peratus; mungkin selain tujuh peratus lagi tidak pasti mengenai kenyataan bahawa DAP mampu menarik undi orang Melayu.

Sebelum ini Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui sukar untuk mengubah ‘pegangan’ penyokong untuk menerima kehadiran DAP sebagai rakan sekutu dalam kerajaan perpaduan hari ini namun katanya ia tidak mustahil dilakukan.

Kata Zahid, hal ini kerana perspektif negatif itu telah diterapkan sejak 22 tahun lalu oleh kepimpinan terdahulu semasa memerintah negara.

Malah Zahid berkata, pengundi UMNO boleh menggunakan konsep sama ketika menyokong dan mengundi calon MCA pada pilihan raya sebelum ini, untuk menyokong calon daripada DAP.

Jelasnya, atas dasar kebersamaan kaedah itu boleh digunakan untuk memilih calon dalam parti kerajaan perpaduan.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata pengundi UMNO perlu memilih calon daripada kerajaan perpaduan pada pilihan raya negeri (PRN) tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.

Menurutnya, gesaan tersebut bukan atas nama parti tertentu sebaliknya atas nama kerajaan perpaduan serta titah Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga kestabilan politik negara.

Ia disusuli seruan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching yang turut menyeru ahli dan penyokong DAP memberi sokongan dan undi kepada calon UMNO pada PRN di enam buah negeri nanti.