Slogan Madani yang dilaung-laungkan kerajaan campuran dipersoal Ahli Parlimen (MP) Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Abdul Latiff kesa apabila kerajaan campuran yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap tidak serupa bikin kerana sehingga hari ini masih menafikan hak wakil rakyat yang dipilih semasa pilihan raya lalu untuk menerima peruntukan sama rata.

Sebaliknya kerajaan Pusat memberi pelbagai alasan untuk mengelakkan menunaikan janji itu.

“Untuk rekod, Kelantan, Kedah dan Perlis, iaitu negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) memberikan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk dari pembangkang sebaik sahaja membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Abdul Latiff, pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-UMNO langsung tidak memberikan peruntukan kepada MP PN pembangkang atas alasan memerlukan rundingan.

“Soalan saya, rundingan apa lagi yang diperlukan kerana kerajaan campuran ini mempunyai majoriti dua pertiga sebelum (Ahli Parlimen) Muar menarik sokongan berbanding sewaktu Perdana Menteri Ke-9.

“Sedangkan kerajaan ini dicanangkan sebagai kerajaan Madani yang tertubuh atas perjuangan reformasi yang begitu panjang.

“Namun, adakah menafikan hak dan mendiamkan janji manifesto adalah madani,” katanya lagi.