SHAH ALAM – Sekumpulan penyamun berputih mata selepas hasil rompakannya berjumlah kira-kira RM70,000 tercicir.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, kelmarin, sekumpulan penjenayah memecah masuk rumah teres dua tingkat di U11 Bukit Bandaraya, dekat sini, milik ahli perniagaan catering.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, ketika kejadian, mangsa berusia 30 tahun bersama isteri dan seorang anaknya sedang di tidur di ruang tamu selepas pulang daripada kerja-kerja katering.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun terjaga selepas mendengar ada perkakasan dapur terjatuh di bahagian bawah rumahnya
“Mangsa kemudian bergegas melihat kejadian sebelum mendapati pintu rumahnya yang terbuka selain pagar belakang yang dipotong.
“Mangsa yang turut menjalankan perniagaan jual beli emas itu kemudiannya bergegas membuat panggilan polis,” katanya.
Beliau berkata, polis yang tiba telah membuat pemeriksaan di sekitar rumah mangsa sebelum menemui sebuah beg berisi beberapa kepingan emas dan wang tunai dianggar berjumlah RM70,000 milik mangsa.
Katanya, siasatan masih dijalankan dan polis percaya suspek terdiri lebih daripada dua individu.
“Usaha memburu suspek masih giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.