Langkah Datuk Seri Anwar Ibraim melantik pemimpin kluster mahkamah dalam barisan Kabinetnya dikritik hebat pihak media negara jiran, Indonesia.

Beberapa agensi berita yang berpengkalan di Indonesia memperlekeh agenda “reformasi” yang dicanang oleh Perdana Menteri (PM) Ke-10 itu, tetapi pada masa yang sama tidak tegas menentang rasuah, malah terpaksa tunduk dengan kleptokrat.

Agensi Detiknews dalam artikel bertajuk “Tunjuk Politikus Terjerat Korupsi Jadi Wakil PM, Anwar Ibrahim Dikritik” membidas Presiden PKR kerana melantik Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) walaupun sedang berdepan puluhan pertuduhan di mahkamah dan masih dalam perbicaraan.

Artikel asal Detiknews: Tunjuk Politikus Terjerat Korupsi Jadi Wakil PM, Anwar Ibrahim Dikritik

https://news.detik.com/internasional/d-6440479/tunjuk-politikus-terjerat-korupsi-jadi-wakil-pm-anwar-ibrahim-dikritik

Sementara itu, agensi CNN Indonesia dalam artikelnya “Netizen Malaysia Sewot Anwar Pilih Wakil PM Terjerat Korupsi” melaporkan pengguna media sosial teruk membidas Anwar susulan langkah melantik anak muridnya itu menjadi pemimpin nombor dua negara baru-baru ini.

Artikel asal CNN Indonesia: Netizen Malaysia Sewot Anwar Pilih Wakil PM Terjerat Korupsi

https://www.cnnindonesia.com/internasional/20221203143315-106-882377/netizen-malaysia-sewot-anwar-pilih-wakil-pm-terjerat-korupsi

Sebuah lagi agensi berita di Indonesia, Kabar24 juga melaporkan berhubung langkah kontroversi Anwar yang memilih anak muridnya itu sebagai TPM, orang nombor dua jawatan tinggi dalam kerajaan.

Dalam artikelnya “Kontroversi Wakil PM Malaysia Ahmad Zahid Hamidi”, Kabar24 mengkritik Anwar kerana mengabaikan prinsip integriti yang sebelum ini dilaungkannya, tetapi kini boleh pula berpelukan dengan perasuah.

Artikel asal Kabar24 : Kontroversi Wakil PM Malaysia Ahmad Zahid Hamidi

https://kabar24.bisnis.com/read/20221205/19/1605323/kontroversi-wakil-pm-malaysia-ahmad-zahid-hamidi

Pada Jumaat lalu, Anwar melantik beberapa kleptokrat dan kluster mahkamah, termasuk Zahid sebagai TPM, walaupun masih berdepan 47 pertuduhan jenayah, termasuk rasuah dan pecah amanah melibatkan jutaan ringgit.

Sebelum ini, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun ketika kempen pilihan raya untuk semata-mata menarik undi telah beberapa kali mengulangi kenyataan bahawa kerajaan yang akan dibentuknya tidak akan memasukkan ahli politik yang terpalit skandal.

Namun langkahnya melantik Zahid dalam Kabinet baru mencetuskan kemarahan ramai di mana sebahagian ahli politik Pakatan Harapan (PH) dilihat terpaksa mempertahankan keputusan itu, mengatakan lantikan Zahid adalah perlu supaya Anwar dapat terus berkuasa.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memainkan peranan penting dalam mendapatkan sokongan ahli Parlimennya terhadap Anwar, walaupun dia mendapat tentangan dari dalaman UMNO sendiri kerana mengabaikan ketetapan perhimpunan parti itu yang tidak membenarkan sebarang jalinan kerjasama dengan Anwar dan DAP. Agendadaily