Tindakan menteri DAP yang menjaga Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) membawa masuk kakitangan Lembaga Perumahan dan Pembangunan Singapura (HDB), bagi memberi cadangan berkaitan perumahan rakyat Malaysia, terus dipersoalkan.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Malaysia mempunyai Majlis Perumahan Negara (MPN) yang boleh melihat isu perumahan bersama KPKT, bukannya membawa masuk kakitangan negara asing untuk menguruskannya.

Membahas Bajet 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini (16 Mac 2023) Shahidan mengingatkan bahawa MPN telah ditubuhkan tetapi aktanya belum lagi dibentangkan kepada Parlimen.

“Lantik HDB sebagai konsultan kalau nak. Bukan secara langsung (dalam KPKT),” katanya.

Sebelum ini, Menteri KPKT, Nga Kor Ming mempertahankan langkah meletakkan pakar HDB ke dalam KPKT hingga mencetuskan perdebatan ramai, termasuk berkaitan keselamatan negara.

Seorang bekas ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim turut membidas langkah itu apabila kerajaan DAP Pulau Pinang kerap meminta nasihat Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura bagi melaksanakan perancangan ‘pecah dan perintah’ di negeri itu.

“Salah satu sebab saya dipecat sebagai Ahli MPPP pada 26 September 2014 adalah kerana saya menyuarakan bantahan, kebimbangan nasib kampung warisan makin ranap sebaik DAP mendapat kuasa selepas PRU-13. Saya sebutkan dalam ucapan saya di Muktamar PAS di Batu Pahat Johor 2014.

“Kini Menteri DAP KPKT secara terang dan terancang menjemput HDB Singapura masuk. Apa akan jadi dengan Tanah Rizab Melayu di Tanah Melayu?” katanya.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata isu pengurusan perumahan negara amat sensitif untuk didedahkan kepada syarikat dari negara luar kerana melibatkan demografi, kependudukan yang sememangnya tidak boleh dimaklumkan kepada pihak lain.

“Kita kena corakkan rancangan perumahan ini dengan cara kita sendiri,” katanya mencadangkan KPKT mengenal pasti masalah utama dalam isu perumahan negara sebelum jalan penyelesaiannya boleh dicari tanpa melibatkan pihak luar.

Katanya, beliau sudah membangkitkan perkara itu dalam persidangan Kamar Khas Parlimen hari ini dan sudah dijawab oleh pihak menteri.

Bagaimanapun, beliau membangkitkan sekali lagi persoalan yang sama dengan harapan kementerian boleh memberikan penjelasan mengenainya sekali lagi.

Terdahulu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memberi amaran tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan kepada pihak yang membuat tohmahan, fitnah dan cubaan menghasut rakyat susulan tindakannya membawa masuk pakar luar untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman berhubung isu perumahan.