Kerajaan tidak akan menghentikan pengoperasian syarikat pemprosesan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas).

Bagaimanapun Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Chang Lih Kang berkata syarikat itu hanya tidak dibenarkan menjalankan operasi ‘cracking and leaching’ (C&L) di negara ini.

Menurutnya, Lynas menerima keputusan tersebut dengan syarat yang dipersetujui bersama.

“Industri nadir bumi penting untuk negara dan setakat ini kita tak dengar apa-apa (Lynas ditutup dan keluar dari Malaysia)

“Pelan mereka di Kalgoorlie dekat barat Australia juga hampir siap dan lanjutan tempoh (operasi) ambil kira sekiranya tak siap sebelum Julai.

“Rayuan yang ditolak pula ambil kira semua aspek. Itu keputusan dibuat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penutupan Program NGO@Makerthon di Kompleks Komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah Kuala Lumpur, hari ini.

Ketika diminta mengulas soal tuntutan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Lau Chin Kok yang menggesa pemimpin-pemimpin politik sebelum ini lantang membantah Lynas untuk memohon maaf secara terbuka, Chang menyifatkan kempen dulu tiadakaitan dengan keputusan membenarkan operasi Lynas tersebut.

“Saya rasa isu itu tidak wujud sebab pada masa dulu apabila ada kempen anti Lynas, itu adalah satu kempen yang besar.

“Jadi tak mungkin ada seorang ahli politik yang tidak mempunyai pendirian tersendiri.

“Saya rasa keputusan pada hari ini tiada kena mengena dengan kempen pada masa hari itu, jadi saya tidak nampak kaitan itu,” katanya.

Sebelum ini Chang mengumumkan telah melanjutkan tempoh operasi kilang (C&L) Lynas sehingga 31 Disember ini selepas mengambil kira kesan keputusan terhadap rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global.

Justeru, berkuat kuasa 1 Januari tahun depan, Lynas perlu memastikan loji C&L di luar negara mula beroperasi dan Lynas tidak lagi dibenarkan untuk mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia